Thursday 14 June 2012

EURO 2012 (result terkini)

Italy vs Croatia & Spain vs Ireland

Dua Gol Perlu Dicari Untuk Ke Perlawanan Akhir

kejor yop kejor


Jurulatih, Abu Bakar Fadzim sudah menyusun strategi yang mantap bagi mendapatkan gol dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Presiden berdepan Terengganu di Stadium Perak, Ipoh petang ini.   

Abu Bakar berkata, Perak perlukan dua gol bagi melayakkan diri ke perlawanan akhir bagi mengulangi kejayaan tahun 2007 lalu.

Oleh itu katanya, strategi yang disusun memerlukan komitmen yang tinggi daripada para pemain dalam usaha mendapatkan dua gol tersebut.

Anak buah Abu Bakar perlu bekerja keras bagi mendapatkan gol setelah kalah 0 - 1 dalam separuh akhir pertama di Kuala Terengganu pada hari Selasa lalu.

Perak pernah layak ke perlawanan akhir pada tahun 2007 lalu dan muncul juara di bawah bimbingan jurulatih, Raja Azlan Shah Raja Shoib.

Selepas itu, Perak hanya mampu menjejak kaki ke saingan suku akhir sahaja.

"Perak sudah menanti selama lima tahun untuk layak ke perlawanan akhir dan para pemain perlu menrealisasikan impian itu,'' jelas Abu Bakar di Ipoh semalam. 

Jurulatih tersebut dijangka menggunakan penjaring terbanyak, Khairul Asyraf Sahizah, Norhakim Mohd Isa dan Kamarul Hesam Mohd Khadri sebagai jentera serangan yang padu.

Selain itu, bekas pemain Liga Super Perak, Nurridzuan Abu Hassan bersama-sama Kenny Pallraj dan Hamizul Izaidi Zulkifli akan menjadi penggerak di bahagian tengah.

Jurulatih itu telah bekerja keras bagi memperbaiki beberapa kelemahan di bahagian pertahanan dan serangan sejak pulang dari Kuala Terengganu.

"Saya telah berusaha memperbaiki kelemahan tersebut tetapi terpulang kepada para pemain bagi melaksanakan strategi yang disusun itu,'' jelasnya.  

Namun begitu, Abu Bakar tetap mengingatkan para pemainnya supaya lebih berhati-hati kerana Terengganu sudah pasti lebih bersemangat apabila berbekalkan satu gol.

"Jangan lalai dan jangan lakukan kesalahan yang boleh membawa pada kepada pasukan sendiri,'' ingatan Abu Bakar kepada anak buahnya.

Para penyokong Kejor Yeop Kejor diminta hadir beramai-ramai bagi memberi sokongan padu kepada skuad muda Perak yang mahu ke perlawanan akhir setelah gagal berbuat demikian sejak tahun 2007 lalu. 

Wednesday 13 June 2012

http://www.mpkkpk.gov.my/kerjaya

http://www.mpkkpk.gov.my/kerjaya

Penerima Saman MBI Diminta Buat Semakan


Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini mengakui berlaku kesilapan dalam proses cetakan kompaun semasa pengeluaran saman sebelum ia dihantar kepada penerimanya.
Susulan daripada itu, Pengerusi Ahli Majlis MBI, Datuk Raduan Mohd Kassim meminta orang ramai yang menerima kompaun dari agensi itu supaya menyemak dahulu saman masing-masing sebelum membuat bayaran.
Jelas beliau, difahamkan wujudnya aduan orang ramai yang mendakwa terdapat beberapa kes kompaun yang telah dibatalkan tetapi masih menerima notis.
“Kita telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai isu ini dan hasilnya kita mendapati wujud sedikit kekeliruan.
“Justeru, MBI memohon maaf kepada orang ramai dan pemilik kenderaan boleh membuat semakan semula bagi mengelak berlakunya lebih banyak salah faham,” katanya.
Tambah Raduan lagi, orang ramai boleh membuat semakan di kaunter MBI selain membuat semakan terus secara online.
Selain itu katanya, pihak MBI akan membayar kadar lebihan saman itu kepada pemilik  kenderaan yang sudah membuat pembayaran saman berkenaan.
“Pihak MBI akan membayar kadar lebihan saman itu kepada pemilik kenderaan semula.
“Kesilapan teknikal telah berlaku dan sebab itu kita mahu orang ramai membuat semakan bagi membolehkan MBI mengesan sekiranya mereka menerima kompaun setelah fail saman ditutup ataupun berlakunya lebihan pembayaran.
“Sebelum ini, Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim juga telah mengumumkan potongan sebanyak 50% kepada orang ramai yang membuat pembayaran saman sebelum 30 Jun ini.
“Justeru, pihak MBI berharap pemilik kenderaan dapat merebut peluang berkenaan bagi mengelak lebih banyak kekeliruan berlaku di masa akan datang,” katanya.
Pada 28 Mei lalu, sebanyak 12, 635 Notis Pemberitahuan Tunggakan Kompaun telah diedarkan kepada orang awam yang memiliki lebih 10 kes kesalahan tempat letak kereta.

Sukar Kekalkan Kebersihan Zoo Taiping

bila terbaca cerita ni...rasa pelik jugak...macam mane persediaan tahun melawat perak ni....ape cerita ye....


Pihak pengurusan Zoo Taiping mengakui sukar mengekalkan tahap kebersihan tandas untuk kemudahan pengunjung disebabkan masalah kekurangan kakitangan.
Pengarahnya, Dr Kevin Lazarus, berkata zoo itu menerima ramai pelawat pada hujung minggu, cuti am dan persekolahan.
Bagaimanapun, katanya, pekerja zoo sentiasa memantau kebersihan tandas dan menjalankan kerja pembersihan di sebelah pagi serta petang.
“Pihak zoo berharap pengguna dapat menggunakan kemudahan tandas yang disediakan dengan sebaik mungkin dan bersama-sama menjaga kebersihan.
“Tandas di hadapan zoo diuruskan pihak swasta yang mendapat tender tiga tahun sekali tetapi turut dipantau oleh kakitangan bagi memastikan kebersihan terkawal.
“Kita mempunyai perancangan untuk membina bangunan tandas tambahan yang lebih baik di sebelah pintu masuk hadapan Zoo Taiping pada masa akan datang,” katanya dipetik dalam ruangan Suara Komuniti Berita Harian.
Beliau mengulas keluhan pengunjung Zoo Taiping yang tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan tandas dan lantai taman kanak-kanak yang didakwa licin sedangkan harga tiket yang perlu dibayar mahal.
Mengulas harga tiket, Kevin menegaskan kadar yang ditetapkan adalah lebih murah daripada harga tiket zoo lain di negara ini walaupun Zoo Taiping adalah salah sebuah zoo terbaik di Malaysia terutama dari segi pameran binatang dan dalam usaha meningkatkan kandang binatang di zoo itu mengikuti piawaian yang dikehendaki Akta Konservasi Zoo 2010.
“Tiket masuk Zoo Taiping ialah RM12 untuk dewasa; RM8 (kanak-kanak) dan RM10 (warga tua) manakala Safari Night pula bayaran yang dikenakan ialah RM16 untuk dewasa; RM10 (kanak-kanak) dan RM13 (warga tua).
“Lawatan secara rombongan diberi potongan 20 peratus dengan rombongan pelajar diberi potongan 50 peratus dengan syarat menulis dan memohon dua minggu sebelum lawatan kepada Pengarah dan Bahagian Pengurusan Zoo Taiping,” katanya lagi.

Nazri: Botol pun boleh tumbangkan kerajaan




Botol air mineral pun boleh menumbangkan kerajaan sekiranya ia gagal mendapat dokongan rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.

Sejarah membuktikan kerajaan di Mesir, Tunisia dan Libya telah tumbang hanya melalui telefon, katanya.

Justeru, menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor), Nazri berkata perkara itu tidak harus dipandang ringan.

Lim meminta Nazri menjelaskan tuduhan kerajaan bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 bertujuan menggulingkan kerajaan dalam keadaan pesertanya cuma membawa garam dan air mineral.

Lim menyoal adakah kerajaan BN terlalu lemah sehingga boleh ditumbangkan dengan semua itu.

Pasukan kumpulan A masih berpeluang ke suku akhir Euro 2012

Tiga pasukan dalam kumpulan A masih berpeluang untuk merebut dua tempat untuk layak ke pusingan suku akhir Euro 2012, apabila perlawanan kedua kumpulan antara Poland dan Rusia awal pagi ini hanya mencatatkan seri 1-1.

Dengan itu, selepas dua perlawanan, Rusia menduduki tempat pertama dalam kumpulan itu dengan mengutip 4 mata dengan mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Republik Czech pada 9 Jun lalu, dan seri dalam perlawanan kedua menentang Poland awal pagi ini.

Manakala, Republik Czech menduduki tangga kedua kumpulan A apabila mengumpul tiga mata, manakala Poland pula mengutip dua mata, selepas seri dalam dua perlawanan.

Sementara Greece pula, bagai telur di hujung tanduk dengan mengutip selepas seri dan kalah dalam dua perlawanan. Mereka terpaksa bekerja keras menentang Russia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 17 Jun ini.

Berdepan dengan pasukan Greece pada 17 Jun nanti, dilihat tidak menjadi masalah kepada skuad Rusia bimbingan jurulatih daripada Belanda, Dick Advocaat.

Di atas kertas, mereka hanya memerlukan sekurang-kurang keputusan seri dalam perlawanan tersebut bagi menjuarai kumpulan itu di samping mengharapkan keputusan seri antara Republik Czech-Poland pada tarikh yang sama.

Perlawanan sengit dijangka berlangsung antara Republik Czech-Poland bagi menghidupkan peluang merebut satu lagi tempat ke suku akhir. Sudah pasti kedua-dua pasukan akan bertungkus lumus dan menurunkan barisan terkuat untuk layak ke suku akhir.

Masing-masing mempunyai kelebihan khususnya Poland yang dilihat bakal membuat kejutan kerana bermain di laman sendiri. Rentak yang ditemui selepas dua perlawanan sebelum inibakal membuatkan penjaga gol Republik Czech Petr Cech bekerja keras.

Apatah lagi gandingan Robert Lewandowski - Jakub Blaszczykowski - Pawel Brozek - mampu merobek gawang Republik Czech.

Republik Czech pula pastinya tidak mahu mengalah, sudah pasti mengatur strategi menyerang sepertimana yang ditunjukkan dalam perlawanan menentang Greece awal pagi ini.

Gandingan mantap Tomas Rosicsky-Vaclav Pilar - Milan Baros, sudah pasti bakal mengkucar-kacirkan pertahanan Poland pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Wroclaw.

Bagi Greece pula, nasib mereka seperti 'nyawa-nyawa ikan' apabila setakat ini mengumpul satu mata dan mengharapkan keajaiban dalam bola sepak. Apa-apa boleh terjadi dalam bola sepak. Gandingan '3 Giorgos' - Karagunis - Fotakis - Samaras, mampu membawa keajaiban kepada pasukan bekas juara Euro 2004 itu.

Sementara itu, dalam perlawanan kedua kumpulan A awal pagi ini, Russia mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Poland di Warsaw.

Skuad bimbingan Dick Advoocat itu berjaya menyekat kemaraan serangan Poland dalam perlawanan yang disifatkan oleh media antarabangsa sebagai "Battle of Warsaw 2012" di ibu negara itu.

Gol Russia dijaringkan oleh pemain tengah kelab CSKA Moscow Alan Dzagoev yang menanduk masuk sepakan percuma yang diambil oleh penyerang Arsenal Andre Arshavin pada minit ke-36.

Manakala gol Poland pula, dijaringkan oleh pemain tengah kelab Borussia Dortmund, Jakub Blaszczykowski pada minit ke-57.

Gol rembatan 'bagai peluru' itu berpunca daripada umpanan rakannya dari sebelah kiri pintu gol Rusia, yang kemudiannya beliau menggelecek seorang pemain Rusia sebelum melepaskan sepakan kencang di luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Igor Akinfeev.

Sekurang-kurangkan enam percubaan Poland untuk menambahkan jaringan sejak wisel separuh masa kedua dibunyikan, bagaimanapun semuanya dinafikan oleh Akinfeev atau tersasar daripada gol.

Sepanjang separuh masa pertama, skuad Poland bimbingan Franciszek Smuda melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah pintu gol Rusia, di mana pada minit ke enam dan 10, tandukan dan sepakan 'halfvolley' penyerang berbisa mereka - Robert Lewandowski - dinafikan oleh penjaga gol Russia Igor Akinfeev dan ada yang melewati palang gol.

Peluang terbaik Poland hadir pada minit ke-17 apabila gol sepakan Rafal Wolski dibatalkan oleh pengadil kerana beliau bnerada dalam kedudukan off-side.

Manakala Rusia juga tidak kurang hebatnya apabila sekurang-kurangnya empat percubaan pada separuh masa kedua gagal dimanfaatkan oleh pemainnya atau ditangkap kemas oleh penjaga gol Poland Grzegorz Sandomierski.

Gandingan Arshavin-Kerzharkov-Dzagoev berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Poland dalam perlawanan kedua awal pagi ini.


I sumber : http://www.malaysiakini.com/news/200812 I

Perak Mahu Kerajaan Pusat Kaji Semula Cadangan Jadikan Pangkor Pulau Bebas Cukai


mb-exco-13-6
Kerajaan negeri mahu Kerajaan Pusat mengkaji semula cadangan menjadikan Pulau Pangkor kawasan bebas cukai, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Katanya kerajaan negeri berharap dapat duduk bersama Kerajaan Pusat bagi membincang perkara itu sebelum cadangan negeri ditolak secara bulat-bulat.
“Kita telah dimaklumkan Kerajaan Pusat bahawa cadangan untuk wujudkan pulau bebas cukai buat Pangkor telah ditolak melalui sepucuk surat yang difakskan ke pejabat Menteri Besar sehari selepas saya membuat sidang media mengenai hal ini.
“Saya rasa penolakan ini agak tergesa-gesa kerana kita tidak diberi peluang untuk berbincang mengenai cadangan ini dengan lebih lanjut,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini.
Dua minggu lalu, Menteri Besar mengumumkan cadangan Perak jadikan Pangkor kawasan bebas cukai yang mana sebahagian daripada elemen yang dikemukan kepada Kerajaan Pusat dalam mewujudkan Lembaga Pembangunan Pangkor.
Dr Zambry berkata kerajaan negeri masih tidak putus asa dan mengharap perbincang dapat dibuat bagi merealisasikan usaha menjadikan Pangkor bebas cukai.
“Saya tidak berniat untuk mengkritik isu ini tetapi saya percaya sebelum perkara itu diputuskan, kita sepatutnya diberi peluang untuk nyatakan rasional kerajaan negeri mengapa kita mahu Pangkor dijadikan bebas cukai,” katanya.

Penyokong Euro 2012 rugi

ape kes da...... pagi2 dah dengar citer ni...

IPOH - Keghairahan pengunjung menonton perlawanan bola sepak Euro 2012 antara England dan Perancis di sebuah restoran Jalan Raja Musa Mahadi, di sini terganggu dengan insiden pecah tingkap membabitkan beberapa kenderaan yang di parkir berhampiran, awal pagi semalam.

Tindakan itu dipercayai didalangi satu kumpulan yang memecahkan cermin dua kereta sebelum melarikan beg dan pelbagai barangan berharga lain ketika pelanggan restoran sedang leka menonton perlawanan bola sepak tersebut.

Seorang mangsa, Amir Safar, 19, penuntut Politeknik Ungku Omar (PUO) hanya menyedari keretanya dipecah masuk selepas tamat menyaksikan perlawanan bola sepak itu kita-kira jam 2 pagi.

Katanya, ketika tiba di kereta Proton Saga FLX miliknya, dia mendapati cermin sisi kiri sebelah penumpang dipecahkan dan kelihatan beberapa barangan yang disimpan turut lesap.

“Penjenayah itu sempat melarikan beg saya yang hanya berisi pakaian dan kasut, namun aksesori berharga seperti radio kereta dan wang di dalam papan pemuka kenderaan masih ada,” katanya yang kemudian bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Taman Cempaka.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mohammad, 30-an, turut mengalami keadaan yang sama.Menurutnya, penjenayah sempat melarikan beg berisi pakaian dan cermin mata miliknya.

“Saya bernasib baik kerana komputer riba yang biasanya diletakkan di dalam beg itu turut dibawa bersama ketika menonton perlawanan bola sepak berkenaan,” katanya yang meletakkan kenderaan di tempat terang kurang 20 meter dari restoran berkenaan.

Jurucakap Balai Polis Taman Cempaka mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Kes jenayah di Perak menurun



IPOH - Sebanyak 3,591 kes jenayah dilapor di Perak sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini berbanding 4,208 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.
  
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 14.7 peratus iaitu 617 kes.
  
Beliau berkata daripada jumlah kes yang dilapor bagi tempoh yang sama tahun ini, sebanyak 1,865 kes iaitu 51.9 peratus berjaya diselesaikan.
  
"Bagi tempoh yang sama tahun lepas, sejumlah 4,208 kes jenayah dilaporkan dengan kadar penyelesaian sebanyak 2,050 kes, bersamaan 48.7 peratus," katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di sini, hari ini.
   
Beliau berkata dengan penurunan kadar jenayah itu, polis Perak telah melepasi sasaran lima peratus yang ditetapkan di bawah perlaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di samping dapat melepasi sasaran 10 peratus yang di tetapkan di bawah Pelan Strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak bagi tahun 2012.
  
Sementara itu, bagi jenayah jalanan, Perak merekodkan 545 kes bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini dan daripada jumlah itu sebanyak 255 kes berjaya diselesaikan - Bernama

Tuesday 12 June 2012

http://www.mbi.gov.my/web/guest/tender_sebutharga

http://www.mbi.gov.my/web/guest/tender_sebutharga

Tender Kuala Kangsar


TENDER/SEBUTHARGA

Tempoh Jualan Borang : 11.06.2012 hingga 15.06.2012
Tempat Jualan : Kaunter Jabatan Kesihatan / Pelesenan, Tingkat 1,
Wisma MPKK, 33000 Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan.
Tarikh Tutup : 18.06.2012 (sebelum jam 12.00 tengahari)

Cerita Rakyat

Pada suatu hari, pagi-pagi lagi Mak Andih mengejutkan Pak Pandir daripada tidurnya. Mak Andih hendak menyuruh Pak Pandir pergi mengangkat pukat. Pukat itu ditahan oleh Mak Andih di tepi sungai. "Pak Pandir! Oh, Pak Pandir!" Mak Andih memanggil. Pak Pandir terdengar suara Mak Andih memanggilnya. Dia membuka matanya sambil menguap. Dia masih mengantuk. "Pak Pandir! Oh, Pak Pandir!" Mak Andih memanggil lagi. "Ada apa, Mak Andih?" tanya Pak Pandir. Dia masih berbaring di tempat tidurnya. "Pergilah awak mengangkat pukat di sungai," kata Mak Andih. Tetapi Pak Pandir menjawab, "Saya masih mengantuk." Mendengar jawapan itu, Mak Andih membiarkan Pak Pandir tidur. "Kasihan, Pak Pandir! Dia masih mengantuk lagi," ujar Mak Andih dalam hatinya. Pak Pandir terlena semula. Tidak lama kemudian, Mak Andih mengejutkan Pak Pandir sekali lagi. Dia berharap Pak Pandir dapat pergi mengangkat pukat. Jika mendapat ikan, tentulah boleh dijadikan lauk untuk makan pada hari itu. "Pak Pandir! Oh, Pak Pandir!" Mak Andih memanggil. Pak Pandir terdengar lagi suara Mak Andih memanggilnya. Tetapi dia masih mengantuk. "Pak Pandir! Oh, Pak Pandir!" Mak Andih masih memanggil. "Ada apa, Mak Andih?" tanya Pak Pandir. Dia masih mengantuk. "Pergilah awak ke sungai. Angkat pukat," kata Mak Andih. "Masih awal lagi. Matahari belum naik," ujar Pak Pandir. Mak Andih membiarkan Pak Pandir tertidur semula. Tidak lama kemudian, terdengarlah Pak Pandir berdengkur. Setelah matahari terbit, Mak Andih mengejutkan Pak Pandir semula. "Pak Pandir! Oh, Pak Pandir!" laung Mak Andih. "Ada apa, Mak Andih?" Pak Pandir bertanya dari dalam selimutnya. "Matahari sudah naik. Pergilah angkat pukat," ujar Mak Andih. Tetapi Pak Pandir menjawab, "Saya sejuk. Biarlah matahari naik lebih tinggi." Mak Andih terdiam apabila mendengar Pak Pandir menjawab begitu. "Kasihan Pak Pandir! Dia masih berasa sejuk," kata Mak Andih dalam hatinya. Mak Andih lalu membiarkan Pak Pandir berdengkur semula. Setelah matahari naik sudah agak tinggi, Mak Andih mengejutkan Pak Pandir semula. "Pak Pandir! Oh, Pak Pandir!" Mak Andih melaung kuat. "Ada apa pula, Mak Andih?" tanya Pak Pandir dengan mata terpejam.


Kalau begitu, tunggulah pagi esok pula," sahut Pak Pandir. Mak Andih terdiam. Pak Pandir berasa lega kerana suara Mak Andih tidak kedengaran lagi. "Lega rasanya hatiku. Sekarang aku boleh sambung tidur semula," kata Pak Pandir dalam hatinya. Sejurus kemudian, terdengarlah Pak Pandir berdengkur semula. Dia sudah terlena. Tetapi sejurus selepas itu, terkejutlah Pak Pandir apabila terdengar suara Mak Andih bertempik di hujung kakinya. Suara Mak Andih kuat bagai halilintar. "Awak hendak bangun atau hendak tidur?" Mak Andih sudah naik angin. "Hendak bangun!" jawab Pak Pandir. Dia sudah berdiri. "Awak hendak pergi angkat pukat atau tidak?" Mak Andih benar-benar sudah meradang. "Memukat boleh, menjala pun boleh!" jawab Pak Pandir. Kecut hatinya apabila melihat Mak Andih sudah meradang. "Awak takut pada buaya atau lebih takut pada parang tumpul ini?" tanya Mak Andih lagi. Kecutlah hati Pak Pandir apabila melihat Mak Andih memegang sebilah parang tumpul. "Saya tidak takut pada buaya. Saya lebih takut pada parang tumpul itu," jawab Pak Pandir dengan suara menggigil. Mahu tidak mahu, terpaksalah Pak Pandir pergi ke sungai. Apabila tiba di tepi sungai, dilihatnya pukat itu sudah tercabut dan berbelit-belit. Pak Pandir berasa hairan. "Mengapa pula pukat ini terjadi begini?" dia bertanya sendirian. Pak Pandir lalu memerhati dengan teliti. Terkejutlah Pak Pandir kerana menyangka di dalam pukat itu terdapat seekor ikan yang sangat besar. Padahal, di dalam pukat itu sebenarnya terdapat seekor ular sawa. Pak Pandir menyangka ular sawa itu ialah ikan haruan. "Ini tentulah ibu haruan!" fikir Pak Pandir. "Wah, besar sungguh ibu haruan ini!" ujar Pak Pandir lagi dalam hatinya. Ia berasa sangat gembira. "Mak Andih tentu gembira!" fikirnya lagi. Tanpa berlengah lagi, Pak Pandir mengangkat pukat itu dan terus membawanya pulang. "Berat sungguh ibu haruan ini," Pak Pandir merungut . Namun, Pak Pandir berusaha memikulnya. Akhirnya, Pak Pandir sampai di rumah. Pak Pandir membawa naik pukat itu ke atas rumah. "Mak Andih! Kita dapat ikan besar," kata Pak Pandir dengan hati sangat gembira. "Ikan apa?" tanya Mak Andih dari dapur. "Ibu haruan!" jawab Pak Pandir. "Besar mana ibu haruan itu?" terdengar lagi suara Mak Andih bertanya dari dapur. "Besar!" jawab Pak Pandir lagi. "Yalah! Besar mana? Sebesar lengan atau sebesar betis?" Mak Andih ingin tahu. "Besar macam paha. Panjang macam batang pinang," terang Pak pandir. Mendengar kata-kata Pak Pandir itu, Mak Andih pun terus meluru keluar. Apalagi! Bertempiklah Mak Andih kerana sangat terkejut melihat ular sawa itu. "Ular sawa!" Lintang-pukang Mak Andih lari, terjun dari rumahnya. Pak Pandir turut terkejut setelah mendengar Mak Andih bertempik begitu. Apabila melihat Mak Andih lari lintang-pukang, Pak Pandir turut lari dan terjun dari rumahnya. "Minta maaflah, Mak Andih! Saya fikir ibu haruan. Tetapi rupa-rupanya ular sawa," kata Pak Pandir. Mak Andih terdiam sahaja kerana masih tergaman. Mukanya pucat lesi kerana masih ketakutan. Pak Pandir tersengih-sengih. Dia berasa malu kerana kebodohannya itu.

Kaki pancing lemas


Kaki pancing lemas

KAMPAR - Keseronokan tiga kaki pancing bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui lemas dipercayai terjatuh di lombong Kampung Changkat Baru, Malim Nawar, pagi semalam.

Mangsa, Yung Shu Gen, 34, warganegara China adalah penuntut jurusan kulinari di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur, ditemui tersangkut di celah batu kira-kira 15 meter
dari tempat terjatuh.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan daripada rakan mangsa pada jam 5.50 petang kelmarin dan segera memaklumkan kepada
bomba untuk mendapatkan bantuan.

Menurutnya, sewaktu kejadian, mangsa bersama dua adik-beradik lelaki yang merupakan teman serumah sedang memancing di kawasan lombong berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai pergi ke tebing untuk mencuci muka kerana cuaca panas sebelum tergelincir dan jatuh.

“Dua rakannya yang berada di situ cuba menyelamatkan mangsa namun gagal apabila mangsa tenggelam dengan pantas kerana kawasan lombong itu mulai gelap dan airnya terlalu dalam,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Abdul Aziz berkata, mangsa baru mengenali kedua- dua adik-beradik berusia 47 dan 41 tahun itu tiga bulan lalu.

Katanya, mereka sering ke lombong, sungai mahupun tasik untuk memancing.

“Kami difahamkan mereka sudah berada di sini (Kampar) sejak Jumaat lalu dan singgah di beberapa kolam pancing itu untuk memancing,” katanya.

Ujarnya, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada unsur jenayah ditemui pada mayat mangsa.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Zainuddin Daud berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.04 petang dan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
 
Menurutnya, pada operasi peringkat awal pihaknya menggunakan sebuah bot dalam operasi mencari dan menyelamat serta dibantu unit penyelam.

“Pada hari ini (semalam), operasi disambung bermula jam 7 pagi dan tiga bot digunakan dalam operasi tersebut.

“Seramai, 50 anggota terdiri daripada pasukan bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Ikatan Relawan Malaysia (Rela) terbabit dalam operasi
mencari dan menyelamat itu,” katanya.

Katanya, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 10.20 pagi oleh unit penyelam dan operasi tamat 10 minit kemudian.

Difahamkan lombong itu pernah meragut tiga nyawa sebelum ini dan mangsa adalah mangsa keempat tragedi lemas di kawasan yang sama. 


I news from : http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/kaki-pancing-lemas-1.55807 I

Pengedar tak serik-serik


Pengedar tak serik-serik


MANJUNG - Tidak pernah serik! Itulah yang berlaku kepada seorang pengedar dadah yang baru sahaja tamat menjalani hukuman di bawah undang-undang langkah pencegahan khas  apabila dia ditangkap semula bersama dadah seberat 8.3 kilogram pada 7 Jun lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung telah melakukan serbuan
di sebuah tempat ternakan ayam di Pantai Remis, di sini.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya menemui 10 ketulan mampat dipercayai ganja dan dua bekas silinder dipercayai mengandungi ganja di dalam sebuah pondok.
“Pondok berkenaan didiami oleh seorang lelaki berumur lewat 30-an dan lelaki berkenaan turut ditangkap untuk siasatan.
“Tangkapan yang dilakukan di Batu 51, Jalan Kampung Sungai Batu, Pantai Remis itu adalah hasil maklumat orang awam dan juga intipan yang telah dilakukan,” katanya dalam sidang
media semalam.
Ahmad berkata, nilai rampasan itu dianggarkan sebanyak RM21,000. “Suspek yang kita tahan itu sudah lama melakukan kegiatan ini dan baru sekarang kita berjaya menahannya bersama barang bukti.
“Dia yang merupakan penagih memang bekerja sebagai pengedar dadah telah ditahan reman sehingga Khamis ini.

"Kita akan memohon bagi reman kali kedua,” katanya.

Katanya, suspek boleh dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Monday 11 June 2012

Keputusan Terkini Euro 2012




8 Jun 2012
11:55pm Poland 1:1 Greece (Group A) - TV3, Astro Arena 801
Lewandowski (POL) 17', Salpigidis (GRE) 51’

9 Jun 2012 
2:45am Russia 4:1 Rep Czech (Group A)
Dzagoev 15' 79’, Shirokov 24’, Pavlyuchenko 82’ (RUS) | Pilar 52’ (CZE)

11:55pm Belanda 0:1 Denmark (Group B) - TV3, Astro Arena 801
Krohn Dehli 24’(DEN)

10 Jun 2012
2:45am Jerman 1:0 Portugal (Group B)
Mario Gomez 72' (GER)

11:55pm Sepanyol 1:1 Itali (Group C)
Di Natale 60'(ITA), Cesc Fabregas 74'(SPA)

11 Jun 2012
2:45am Ireland 1-3 Croatia (Group C) - TV3, Astro Arena 801
St Ledger 19' (IRE) | Mandžukic 3’, 48’ Jelavic 43’(CRO)

11:55pm Perancis 1:1 England (Group D)
Samir Nasri 39’ (FRA), J.Lescott 30’ (ENG)

12 Jun 2012
2:45am Ukraine 2-1 Sweden (Group D) - TV3, Astro Arena 801
A.Shevchenko 55’, 62’ (UKR), Z.Ibrahimovic 52’ (SWE)

Harga Minyak RON95 Mungkin Diturunkan Selepas Harga Minyak RON97 Diturunkan 10 Sen?


betul ke....kalau betul alhamdulillah....


Harga Minyak Malaysia 2012 Harga Minyak RON95 Mungkin Diturunkan Selepas Harga Minyak RON97 Diturunkan 10 Sen?
Harga minyak dunia ketika ini tidak semewah sebelum ini. Dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu menyebabkan harga minyak dunia pada paras terumbang-umbing dan mula menurun berada di bawah pada paras USD100 setong sejak harga minyak mentah melepasi paras USD100 (RM310) setong sekitar Mei 2012 yang lalu. Kalau sebelum ini ramai kalangan pengguna petrol RON97 yang mempertikaikan tindakan kerajaan yang acapkali menaikkan harga minyak RON97 tetapi agak kurang kedengaran harga minyak RON97 diturunkan.
Untuk tahun 2011, sudah empat harga minyak RON97 dinaikkan. Tetapi….
Tetapi baru-baru ini, selepas 2, 3 siri kenaikan harga minyak RON97 akhirnya kerajaan telah bertindak menurunkan harga minyak RON97 sebanyak 10 sen dari RM2.90 kepada RM2.80 seliter.
Harga Minyak RON 95 VS RON 97 Harga Minyak RON95 Mungkin Diturunkan Selepas Harga Minyak RON97 Diturunkan 10 Sen?
Sekitar sebulan lebih yang lalu, kami pernah menerbitkan laporan berita yang bertajuk “RON 95 VS RON 97. Kenapa RON 95 Lebih Mahal Daripada RON 97 Yang Tiada Subsidi?” di mana terdapat kemusykilan sehingga menyebabkan kami membangkitkan persoalan tentang perbandingan dan pertimbangan antara harga minyak RON95 dengan harga minyak RON97 yang ditetapkan oleh kerajaan.
Dikesempatan ini kami kongsikan sekali data yang dipaparkan di stesen minyak Petronas mengenai subsidi minyak yang diperuntukkan oleh kerajaan ketika itu :
Bulan Mei 2012
  • Harga Sebenar : RM3.53
  • Harga Kawalan : RM1.90
  • Perlepasan Cukai : RM0.59
  • Subsidi Kerajaan : RM1.04
Bulan April 2012
  • Harga Sebeenar : RM3.41
  • Harga Kawalan : RM1.90
  • Perlepasan Cukai : RM0.59
  • Subsidi Kerajaan : RM0.92
Bulan Disember 2011
  • Harga Sebenar : RM3.16
  • Harga Kawalan : RM1.90
  • Perlepasan Cukai : RM0.58
  • Subsidi Kerajaan : RM0.68
Bulan November 2011
  • Harga Sebenar : RM3.35
  • Harga Kawalan : RM1.90
  • Perlepasan Cukai : RM0.59
  • Subsidi Kerajaan : RM0.86
Harga Minyak RON95 Terkini Harga Minyak RON95 Mungkin Diturunkan Selepas Harga Minyak RON97 Diturunkan 10 Sen?
Bulan Jun 2012
  • Harga Sebenar : RM2.72
  • Harga Kawalan : RM1.90
  • Perlepasan Cukai : RM0.59
  • Subsidi Kerajaan : RM0.82
Semakan subsidi kerajaan bagi harga minyak RON97 mengejutkan kami apabila harga sebenar yang dipaparkan di stesen Petronas yang telah kami kunjungi “turun mendadak” berbanding data pada bulan sebelumnya.
Sebelum (MEI 2012):
  • Harga Minyak RON95 tanpa subsidi = RM3.53
  • Harga Minyak RON97 tanpa subsidi = RM2.90
Selepas (JUN 2012):
  • Harga Minyak RON95 tanpa subsidi = RM2.72
  • Harga Minyak RON97 tanpa subsidi = RM2.80
Selepas sahaja kerajaan umumkan penurunan harga minyak RON97 baru-baru ini sebanyak 10 sen, harga tanpa subsidi RON95 telah bertukar terus dari Rm3.35 kepada RM2.72 ?? Minta menteri menjawab persoalan ini?
Angka ini pula, kami perolehi berdasarkan laporan Berita Utama pada 7 Jun 2012 yang lalu :
Harga Minyak RON97 Harga Minyak RON95 Mungkin Diturunkan Selepas Harga Minyak RON97 Diturunkan 10 Sen?
Semakan seterusnya yang telah kami lakukan berdasarkan kenyataan menteri yang dilaporkan oleh Buletin Utama mengatakan harga minyak RON97 boleh diturunkan ketika ini tidak bermakna harga minyak RON95 yang majoritinya digunakan oleh golongan pertengahan dan golongan bawahan turun sama-sama diturunkan harganya. Ini kerana, walaupun harga minyak mentah antarabangsa menurun ketika ini, tetapi harga minyak RON97 masih lagi dilindungi subsidi.
Secara perkiraan kasarnya sekarang ini, apabila harga minyak mula menurun ketika ini, ini bermakna subsidi kerajaan juga dapat dikurangkan bagi mengawal harga minyak RON95 kepada pengguna.
  1. Apabila harga minyak dunia turun, kedua-dua harga minyak RON95 dan RON97 di atas kertas memang sepatutnyaakan turun
  2. Tetapi, kerajaan telah putuskan sebelum ini untuk memberikan subsidi berdasarkan perkiraan mereka kecuali harga pasaran turun di bawah harga sekarang
  3. Manakala, harga minyak RON97 tak diberi subsidi, sesuai untuk orang mempunyai “lebihan wang”, harga akan turun naik mengikut pasaran
  4. Jadi sebab apa harga minyak RON95 masih lagi sukar untuk diturunkan kerajaan?
  5. Biasanya harga sebenar minyak RON95 hanya kurang 10-20 sen sahaja berbanding harga sebenar minyak RON97
  6. Sebenarnya, kerajaan boleh sahaja menurunkan harga minyak RON95 jikalau mereka mahu. Tteapi polisi kerajaan sekarang agak berlainan.
  7. Mereka lebih berminat untuk mencurahkan lebihan subsidi itu ke tempat atau tujuan yang lain. Tujuan yang mana satu? Kami tidak pasti…..
Di atas pertimbangan itu, jikalau kerajaan masih tetap dengan pendirian mereka dengan tidak mahu menurunkan harga minyak RON95 pada ketika ini dalam keadaan sekarang ini harga minyak mentah antarabangsa sudah menunjukkan rentak menurun, kami berbesar hati mahu mengetahui berapa penjimatan daripada penurunan harga minyak mentah dunia ketika ini?
Dan daripada penjimatan itu, dana tersebut telah disalurkan untuk tujuan apa?

Wanita Warga China Ditemui Mati Lemas


Seorang wanita warga China ditemui mati lemas selepas terjatuh ke dalam lombong di Kampung Changkat Baru, Malim Nawar.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh, berkata mayat Yang Shuqin, 34, ditemui di dasar lombong berkenaan oleh unit penyelam bomba dan penyelamat pada jam 10.20 pagi tadi.
Mangsa dikatakan menemani dua rakan lelakinya ke lombong berkenaan yang terletak satu kilometer dari rumah sewanya pada jam 6 petang semalam untuk memancing.
"Mangsa hendak membasuh muka di tepi lombong apabila tergelincir lalu tenggelam. Dua rakannya cuba membantu tetapi gagal lalu mereka menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan," katanya. 

Beliau berkata, polis dengan bantuan bomba dan penyelamat kemudiannya mengadakan operasi mencari sehingga tengah malam tadi tetapi gagal menemui mangsa hingga dimulakan semula pada jam 8 pagi tadi dan menemui mayat mangsa di dalam lombong itu sedalam kira-kira 12 meter. 
Mayat dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Friday 8 June 2012

Kelab Penyokong Dan Peminat Perak Risau Kehilangan Ahli

perak-penyokong1
Kelab-kelab penyokong dan peminat di Perak menyuarakan kebimbangan akan kehilangan ahli dengan kehadiran Kelab Penyokong Pasukan Bolasepak Perak yang bakal ditubuhkan oleh Persatuan Bolasepak 
Perak ( Pafa ) mulai musim 2013 akan datang.

Mereka berkata, kelab-kelab berkenaan mungkin terkubur jika gagal bersaing dengan kelab yang akan ditubuh oleh Pafa itu.

Begitulah antara luahan yang dikemukakan oleh kelab peminat dan penyokong bola sepak Perak dalam perjumpaan dengan Setiausaha Pafa, Abdul Aziz Yeop Jamaludin di pejabat Pafa, Ipoh kelmarin.

Perjumpaan yang diatur oleh Pafa itu bertujuan menjelaskan hasrat dan tujuan persatuan tersebut untuk menubuhkan kelab penyokong di bawah naungannya kepada kelab peminat dan penyokong bola sepak Perak.

Empat kelab penyokong dan peminat iaitu Kelab Seladang FC ( KSFC ), Kelab Peminat Bolasepak Perak ( KPBP ), Silver State Ultras dan Die Hard Fan telah hadir dalam perjumpaan tersebut.

Abdul Aziz berkata Pafa tidak berhasrat untuk membubarkan mana-mana kelab kerana mereka mempunyai organisasi dan identiti tersendiri serta ahli-ahli yang begitu setia kepada kelab berkenaan. 

"Mereka boleh meneruskan aktiviti masing-masing seperti biasa dan Pafa tidak mahu menggangu urusan kelab-kelab berkenaan,'' jelasnya.

"Pafa cuma ingin mendaftar mana-mana individu yang belum menjadi ahli kelab peminat dan penyokong sebagai ahli kelab penyokong di bawah naungan Pafa,'' tambah Abdul Aziz.

Namun begitu katanya, Pafa tidak akan menghalang mana-mana ahli daripada empat buah kelab berkenaan untuk menyertai kelab penyokong Pafa kelak. 

Oleh itu katanya, Pafa akan membuka keahlian kelab penyokong itu kepada orang ramai yang berminat menyertainya dari seluruh negara.

Sebelum ini keempat-empat kelab tersebut telah memeriahkan setiap perlawanan di Stadium Perak sehingga menyemarakkan semangat para pemain Perak untuk mengejar kemenangan.

Mereka juga telah berkorban tenaga dan wang bagi memberi sokongan padu kepada skuad Seladang di luar Ipoh.

Selain itu, keempat-empat kelab berkenaan berharap mereka tidak dianaktirikan selepas penubuhan kelab penyokong Pafa kelak.

Mereka meminta Pafa akan terus memberi sumbangan kepada kelab-kelab berkenaan seperti yang dilakukan pada masa ini. 
 
Potongan harga tiket menyaksikan perlawanan di Ipoh kepada ahli kelab penyokong serta bantuan kewangan antara sumbangan yang diberikan oleh Pafa kepada mereka sejak bertahun yang lalu.

"Jangan takut Pafa akan meneruskan sumbangan berkenaan jika mempunyai peruntukan,'' janji Abdul Aziz.

Beliau berkata, Pafa akan melakukan perjumpaan dari masa ke semasa dengan kelab-kelab berkenaan bagi memberi penjelasan lanjut mengenai penubuhan kelab penyokong tersebut.

Setiausaha Pafa berharap penubuhan kelab penyokong berkenaan akan menjadi kenyataan seterusnya memberi faedah yang lebih banyak kepada ahli kelab itu.

Akhirnya, keempat-empat kelab berkenaan menyokong hasrat Pafa untuk menubuhkan kelab penyokong sendiri.


I news from : http://www.peraknews.com/index.php?option=com_content&view=article&id=1860:kelab-penyokong-dan-peminat-perak-risau-kehilangan-ahli&catid=38:sukan&Itemid=69 I