Wednesday 13 June 2012

Penerima Saman MBI Diminta Buat Semakan


Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini mengakui berlaku kesilapan dalam proses cetakan kompaun semasa pengeluaran saman sebelum ia dihantar kepada penerimanya.
Susulan daripada itu, Pengerusi Ahli Majlis MBI, Datuk Raduan Mohd Kassim meminta orang ramai yang menerima kompaun dari agensi itu supaya menyemak dahulu saman masing-masing sebelum membuat bayaran.
Jelas beliau, difahamkan wujudnya aduan orang ramai yang mendakwa terdapat beberapa kes kompaun yang telah dibatalkan tetapi masih menerima notis.
“Kita telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai isu ini dan hasilnya kita mendapati wujud sedikit kekeliruan.
“Justeru, MBI memohon maaf kepada orang ramai dan pemilik kenderaan boleh membuat semakan semula bagi mengelak berlakunya lebih banyak salah faham,” katanya.
Tambah Raduan lagi, orang ramai boleh membuat semakan di kaunter MBI selain membuat semakan terus secara online.
Selain itu katanya, pihak MBI akan membayar kadar lebihan saman itu kepada pemilik  kenderaan yang sudah membuat pembayaran saman berkenaan.
“Pihak MBI akan membayar kadar lebihan saman itu kepada pemilik kenderaan semula.
“Kesilapan teknikal telah berlaku dan sebab itu kita mahu orang ramai membuat semakan bagi membolehkan MBI mengesan sekiranya mereka menerima kompaun setelah fail saman ditutup ataupun berlakunya lebihan pembayaran.
“Sebelum ini, Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim juga telah mengumumkan potongan sebanyak 50% kepada orang ramai yang membuat pembayaran saman sebelum 30 Jun ini.
“Justeru, pihak MBI berharap pemilik kenderaan dapat merebut peluang berkenaan bagi mengelak lebih banyak kekeliruan berlaku di masa akan datang,” katanya.
Pada 28 Mei lalu, sebanyak 12, 635 Notis Pemberitahuan Tunggakan Kompaun telah diedarkan kepada orang awam yang memiliki lebih 10 kes kesalahan tempat letak kereta.

No comments:

Post a Comment