Wednesday 13 June 2012

Perak Mahu Kerajaan Pusat Kaji Semula Cadangan Jadikan Pangkor Pulau Bebas Cukai


mb-exco-13-6
Kerajaan negeri mahu Kerajaan Pusat mengkaji semula cadangan menjadikan Pulau Pangkor kawasan bebas cukai, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Katanya kerajaan negeri berharap dapat duduk bersama Kerajaan Pusat bagi membincang perkara itu sebelum cadangan negeri ditolak secara bulat-bulat.
“Kita telah dimaklumkan Kerajaan Pusat bahawa cadangan untuk wujudkan pulau bebas cukai buat Pangkor telah ditolak melalui sepucuk surat yang difakskan ke pejabat Menteri Besar sehari selepas saya membuat sidang media mengenai hal ini.
“Saya rasa penolakan ini agak tergesa-gesa kerana kita tidak diberi peluang untuk berbincang mengenai cadangan ini dengan lebih lanjut,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini.
Dua minggu lalu, Menteri Besar mengumumkan cadangan Perak jadikan Pangkor kawasan bebas cukai yang mana sebahagian daripada elemen yang dikemukan kepada Kerajaan Pusat dalam mewujudkan Lembaga Pembangunan Pangkor.
Dr Zambry berkata kerajaan negeri masih tidak putus asa dan mengharap perbincang dapat dibuat bagi merealisasikan usaha menjadikan Pangkor bebas cukai.
“Saya tidak berniat untuk mengkritik isu ini tetapi saya percaya sebelum perkara itu diputuskan, kita sepatutnya diberi peluang untuk nyatakan rasional kerajaan negeri mengapa kita mahu Pangkor dijadikan bebas cukai,” katanya.

No comments:

Post a Comment