Friday 8 June 2012

Kelab Penyokong Dan Peminat Perak Risau Kehilangan Ahli

perak-penyokong1
Kelab-kelab penyokong dan peminat di Perak menyuarakan kebimbangan akan kehilangan ahli dengan kehadiran Kelab Penyokong Pasukan Bolasepak Perak yang bakal ditubuhkan oleh Persatuan Bolasepak 
Perak ( Pafa ) mulai musim 2013 akan datang.

Mereka berkata, kelab-kelab berkenaan mungkin terkubur jika gagal bersaing dengan kelab yang akan ditubuh oleh Pafa itu.

Begitulah antara luahan yang dikemukakan oleh kelab peminat dan penyokong bola sepak Perak dalam perjumpaan dengan Setiausaha Pafa, Abdul Aziz Yeop Jamaludin di pejabat Pafa, Ipoh kelmarin.

Perjumpaan yang diatur oleh Pafa itu bertujuan menjelaskan hasrat dan tujuan persatuan tersebut untuk menubuhkan kelab penyokong di bawah naungannya kepada kelab peminat dan penyokong bola sepak Perak.

Empat kelab penyokong dan peminat iaitu Kelab Seladang FC ( KSFC ), Kelab Peminat Bolasepak Perak ( KPBP ), Silver State Ultras dan Die Hard Fan telah hadir dalam perjumpaan tersebut.

Abdul Aziz berkata Pafa tidak berhasrat untuk membubarkan mana-mana kelab kerana mereka mempunyai organisasi dan identiti tersendiri serta ahli-ahli yang begitu setia kepada kelab berkenaan. 

"Mereka boleh meneruskan aktiviti masing-masing seperti biasa dan Pafa tidak mahu menggangu urusan kelab-kelab berkenaan,'' jelasnya.

"Pafa cuma ingin mendaftar mana-mana individu yang belum menjadi ahli kelab peminat dan penyokong sebagai ahli kelab penyokong di bawah naungan Pafa,'' tambah Abdul Aziz.

Namun begitu katanya, Pafa tidak akan menghalang mana-mana ahli daripada empat buah kelab berkenaan untuk menyertai kelab penyokong Pafa kelak. 

Oleh itu katanya, Pafa akan membuka keahlian kelab penyokong itu kepada orang ramai yang berminat menyertainya dari seluruh negara.

Sebelum ini keempat-empat kelab tersebut telah memeriahkan setiap perlawanan di Stadium Perak sehingga menyemarakkan semangat para pemain Perak untuk mengejar kemenangan.

Mereka juga telah berkorban tenaga dan wang bagi memberi sokongan padu kepada skuad Seladang di luar Ipoh.

Selain itu, keempat-empat kelab berkenaan berharap mereka tidak dianaktirikan selepas penubuhan kelab penyokong Pafa kelak.

Mereka meminta Pafa akan terus memberi sumbangan kepada kelab-kelab berkenaan seperti yang dilakukan pada masa ini. 
 
Potongan harga tiket menyaksikan perlawanan di Ipoh kepada ahli kelab penyokong serta bantuan kewangan antara sumbangan yang diberikan oleh Pafa kepada mereka sejak bertahun yang lalu.

"Jangan takut Pafa akan meneruskan sumbangan berkenaan jika mempunyai peruntukan,'' janji Abdul Aziz.

Beliau berkata, Pafa akan melakukan perjumpaan dari masa ke semasa dengan kelab-kelab berkenaan bagi memberi penjelasan lanjut mengenai penubuhan kelab penyokong tersebut.

Setiausaha Pafa berharap penubuhan kelab penyokong berkenaan akan menjadi kenyataan seterusnya memberi faedah yang lebih banyak kepada ahli kelab itu.

Akhirnya, keempat-empat kelab berkenaan menyokong hasrat Pafa untuk menubuhkan kelab penyokong sendiri.


I news from : http://www.peraknews.com/index.php?option=com_content&view=article&id=1860:kelab-penyokong-dan-peminat-perak-risau-kehilangan-ahli&catid=38:sukan&Itemid=69 I

No comments:

Post a Comment