Thursday 14 June 2012

Dua Gol Perlu Dicari Untuk Ke Perlawanan Akhir

kejor yop kejor


Jurulatih, Abu Bakar Fadzim sudah menyusun strategi yang mantap bagi mendapatkan gol dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Presiden berdepan Terengganu di Stadium Perak, Ipoh petang ini.   

Abu Bakar berkata, Perak perlukan dua gol bagi melayakkan diri ke perlawanan akhir bagi mengulangi kejayaan tahun 2007 lalu.

Oleh itu katanya, strategi yang disusun memerlukan komitmen yang tinggi daripada para pemain dalam usaha mendapatkan dua gol tersebut.

Anak buah Abu Bakar perlu bekerja keras bagi mendapatkan gol setelah kalah 0 - 1 dalam separuh akhir pertama di Kuala Terengganu pada hari Selasa lalu.

Perak pernah layak ke perlawanan akhir pada tahun 2007 lalu dan muncul juara di bawah bimbingan jurulatih, Raja Azlan Shah Raja Shoib.

Selepas itu, Perak hanya mampu menjejak kaki ke saingan suku akhir sahaja.

"Perak sudah menanti selama lima tahun untuk layak ke perlawanan akhir dan para pemain perlu menrealisasikan impian itu,'' jelas Abu Bakar di Ipoh semalam. 

Jurulatih tersebut dijangka menggunakan penjaring terbanyak, Khairul Asyraf Sahizah, Norhakim Mohd Isa dan Kamarul Hesam Mohd Khadri sebagai jentera serangan yang padu.

Selain itu, bekas pemain Liga Super Perak, Nurridzuan Abu Hassan bersama-sama Kenny Pallraj dan Hamizul Izaidi Zulkifli akan menjadi penggerak di bahagian tengah.

Jurulatih itu telah bekerja keras bagi memperbaiki beberapa kelemahan di bahagian pertahanan dan serangan sejak pulang dari Kuala Terengganu.

"Saya telah berusaha memperbaiki kelemahan tersebut tetapi terpulang kepada para pemain bagi melaksanakan strategi yang disusun itu,'' jelasnya.  

Namun begitu, Abu Bakar tetap mengingatkan para pemainnya supaya lebih berhati-hati kerana Terengganu sudah pasti lebih bersemangat apabila berbekalkan satu gol.

"Jangan lalai dan jangan lakukan kesalahan yang boleh membawa pada kepada pasukan sendiri,'' ingatan Abu Bakar kepada anak buahnya.

Para penyokong Kejor Yeop Kejor diminta hadir beramai-ramai bagi memberi sokongan padu kepada skuad muda Perak yang mahu ke perlawanan akhir setelah gagal berbuat demikian sejak tahun 2007 lalu. 

No comments:

Post a Comment